Kegunaan perubatan Ujian keserasian darah

Ujian keserasian darah dilakukan secara rutin sebelum pemindahan darah. Proses ujian keserasian penuh melibatkan penggolongan ABO dan RhD (faktor Rh); saringan antibodi-antibodi sistem-sistem kumpulan darah yang lain; dan penyerasian silang melalui ujian plasma darah penerima terhadap sel darah merah penderma sebagai pemeriksaan akhir untuk ketidakserasian. Jika antibodi kumpulan darah yang tidak terjangka dikesan, ujian lanjutan diperlukan untuk mengenal pasti antibodi [3]:740 dan memastikan darah penderma negatif untuk antigen yang berkaitan. [1]:261 Penyerasian silang serologi boleh diabaikan jika saringan antibodi penerima negatif, tiada sejarah antibodi yang signifikan secara klinikal, dan jenis ABO/Rh mereka telah disahkan melalui rekod sejarah atau uji kaji sampel darah yang diambil untuk kali kedua; dan jika keadaan benar-benar terdesak, darah boleh ditransfusikan sebelum sebarang keputusan ujian keserasian tersedia. [1]

Ujian keserasian darah sering dilakukan ke atas wanita hamil dan pada darah tali pusat bayi yang baru lahir, kerana ketidakserasian merisikokan bayi untuk mendapat penyakit hemolitik bayi baru lahir. Ia juga digunakan sebelum pemindahan sel stem hematopoietik, kerana ketidakserasian kumpulan darah mungkin akan menjadi punca ke atas beberapa kes penyakit cantuman lawan perumah akut. [4]